Monday, September 3, 2012

Perkasa Juga Perlu Didakwa...



Ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, hari ini meminta Polis Di Raja Malaysia (PDRM) agar mengambil tindakan kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) kerana pernah memijak potretnya satu ketika dahulu.
Lim dalam kenyataannya mengecam tindakan berat sebelah dan sikap memilih yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN) dalam menangani isu beberapa anak muda memijak potret perdana menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak, sewaktu sambutan ambang Kemerdekaan anjuran Gabungan Janji pada malam Khamis lalu.
“Adakah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, boleh berjanji pihak kementeriannya akan bertindak tegas dan mengikut lunas perundangan ke atas penyokong BN yang melakukan aksi sama ke atas pemimpin Pakatan Rakyat seperti individu yang memijak potret PM?” kata Lim dalam satu kenyataan yang dihantar kepada The Malaysian Insider hari ini.
Dalam insiden bulan Mei lalu, potret Lim telah dipijak oleh ahli Perkasa di Komtar dan melakukan upacara simbolik pengkebumian dihadapan rumahnya di Pulau Pinang akan tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan diambil oleh pihak berkuasa ke atas tingkahlaku biadab tersebut.
Lim juga membangkitkan isu “tarian punggung” yang berlaku diluar rumah Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan, dan mempertikaikan sikap parti komponen BN bukan Melayu yang berat sebelah kerana mengutuk tindakan memijak potret PM tetapi tidak mengambil tindakan sama apabila beliau yang berbangsa Cina diperlakukan dengan aksi sama.
“Presiden Gerakan dan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, mengutuk tindakan potrait PM dipijak tetapi berdiam diri apabila gambar saya dipijak,” tambah Ketua Menteri Pulau Pinang.
Dalam “Himpunan Janji Bersih” anjuran Gabungan Janji yang merupakan gabungan 47 badan bukan kerajaan NGO dan aktivis Bersih pada Khamis lalu, beberapa laporan media menyelar tindakan peserta yang bertindak memijak gambar pemimpin negara, menunjukkan punggung dan mempamerkan bendera “Sang Saka Malaya” yang dikatakan bagi menggantikan Jalur Gemilang.
Himpunan tersebut yang tamat sejurus detik 12 malam telah berlangsung dengan kehadiran sekitar 5,000 penyokong mereka menunjukkan komitmen kepada demokrasi dengan sempena sambutan Kemerdekaan negara.
Mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut turut memakai kemeja T berwarna kuning sebagai menyuarakan sokongan mereka kepada matlamat dan perjuangan Gabungan Janji tersebut.
Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said turut membacakan puisi bertajuk “Janji Demokrasi” sebelum perhimpunan tersebut tamat.
Ekoran laporan tersebut, polis telah membentuk pasukan khas bagi menyiasat laporan yang dibuat membabitkan insiden di Dataran Merdeka dan berhubung tindakan penganjur “Himpunan Janji Bersih” yang telah melanggar Akta Perhimpunan Aman 2011.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata dalam insiden pertama yang berlaku di Dataran Merdeka semasa Himpunan Janji Bersih, Khamis lalu, polis meminta individu terlibat mempamerkan bendera bagi menggantikan Jalur Gemilang supaya tampil membantu siasatan.
Katanya, polis juga mahukan individu dalam insiden memijak dan menunjukkan punggung ke atas gambar pemimpin negara pada malam perhimpunan.

No comments:

Post a Comment