Monday, March 29, 2010

kemenangan chua soi lek

POLITIK memang seni serba kemungkinan. Mesyuarat Agung Luar Biasa pemilihan semula MCA berakhir semalam membuktikan tidak ada perkara mustahil yang tidak boleh dijadikan suatu kebenaran. Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA yang baru membuktikan tidak ada yang mustahil dalam dunia politik. Pemimpin berpengaruh dari Batu Pahat itu sudah melalui perjalanan politik yang amat mengagumkan, konspirasi politik, disingkirkan, membuat kemunculan semula, diketepikan walaupun diberi kemaafan, membuat kejutan demi kejutan, dan akhirnya dipilih untuk menjadi teraju utama parti terunggul kaum Cina. Rasanya belum ada mana-mana pemimpin politik di negara ini yang pernah melalui pengalaman seperti Chua dan rasanya juga belum ada mana-mana parti politik di negara ini yang mempunyai cerita permainan politik yang penuh licik.

Chua wajar diberi gelaran ‘master of the game’. Rayuannya kepada perwakilannya untuk mentadbir MCA dalam tempoh baki setahun ini diterima, kini semua tanggungjawab untuk menyatukan semua puak yang berpecah-belah dalam MCA terletak di bahu pemimpin veteran ini.

Kemenangannya ke atas Tan Sri Ong Ka Ting dan Datuk Seri Ong Tee Keat, bukan kemenangan sehari. Sambutan keriangan penyokong-penyokongnya akan lenyap dalam masa beberapa hari lagi.

Chua perlu membuktikan keikhlasan diri sebagai pemimpin yang berjanji akan mengembalikan maruah MCA yang sudah tercemar teruk.
Dia juga perlu membuktikan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain akan kemampuannya untuk mendapatkan semula sokongan bangsa Cina yang pudar ketika ini.

Gandingannya dengan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menang jawatan Timbalan Presiden wajar diberi perhatian. Dia bernasib baik kerana Liow mempunyai misi sama iaitu untuk menyatukan semula MCA dan memastikan puak yang berpecah kembali ke meja rundingan.

Chua perlu belajar dari pengalaman bekas Presiden lalu yang mengetepikan ramai pemimpin yang bukan ‘orangnya’. Kegagalan untuk memastikan setiap pemimpin yang di dalam barisan kepemimpinannya terutama di peringkat Jawatankuasa Pusat (CC) mendapat pengiktirafan serta tanggungjawab yang sewajarnya dengan kemampuan masing-masing, boleh menyeret parti ini ke kancah kekecohan semula.

Gandingan Chua-Liow, dibantu empat Naib Presiden Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Datuk Donald Lim, Datuk Chor Chee Heung dan Datuk Gan Ping Sieu perlu diberi peluang semua ahli untuk mengembalikan MCA ke landasan perjuangan kaum Cina dan rakyat Malaysia yang lebih mantap.

Pemimpin yang tewas seperti Tee Keat dan Ka Ting, juga perlu kembali bermuhasabah diri. Adalah lebih molek sekiranya kedua-dua pemimpin yang mempunyai ramai pengikut ini turut membantu Chua untuk memperkasakan semula MCA.

MCA dan Malaysia tidak lagi mampu disogok dengan perspektif politik negatif. Cukuplah parti pembangkang membuat onar, MCA sebagai sebahagian daripada parti pemerintah perlu berubah sikap bermula hari ini!

Sudut Pandangan :

S99: persoalanya.bagaimana soi lek yang pernah mengemparkan malaysia dengan skandal video seksnya boleh memenangi jawatan presiden MCA sekaligus menjadi pemimpin kaum cina malaysia.apapun S99 harapkan kepimpinanya mampu membela nasib kaum cina malaysia.

Ken_G : Soi Lek menang hanya dengan majoriti undi 68 undi. Ini menunjukkan bahawa MCA masih tidak stabil dan masih mempunyai 2 'kepala'. Mungkin ada di antara mereka yang mengikut pilihan popular sahaja, tetapi mereka masih tidak meyelesaikan isu-isu yang berbangkit. Mungkinkah Soi Lek dapat menyatukan Parti MCA yang semakin rapuh sekarang? Hanya masa akan menentukan...

No comments:

Post a Comment