Wednesday, January 18, 2012

Mengejar Masa Silam : Prolog

Prolog : Mati Hidup Semula

Mataku dibuka. Aku melihat kipas siling berpusing perlahan. Cahaya terang yang mengejutkan diri ini berasal dari cahaya matahari yang menerjah dari tingkap. Di mana aku ini agaknya? Segalanya putih di sekeliling. Aku cuba membangunkan diri, tetapi diri ini terasa begitu berat bagai ditindih batu. Macam digam pada katil pula. Aku cuba meggerakkan kepala untuk melihat sekeliling. Melihatkan segala peralatan yang berada di sebelah katil, aku mengandaikan yang aku berada di hospital.

            “Hospital?”
            “Kenapa aku terlantar di sini?”

Masih liar memandang sekeliling, aku melihat seorang wanita terlena di sisi katilku. Aku cuba megamati wajahnya, tetapi cahaya matahari menyilaukan pandanganku. Dengan rasa ingin tahu, aku cuba menggerakkan tanganku untuk mengejutkan wanita tersebut. Masih begitu berat, seperti sudah lama tidak digunakan. Walau bagaimanapun, aku berjaya menyentuh wanita itu biarpun menggunakan banyak tenaga. Sentuhan itu cukup untuk mengejutkan wanita itu.
            Setelah merenung wanita yang masih mamai itu, baru ku sedar yang dia adalah emak aku. Akan tetapi, raut wajahnya seperti sudah dimamah usia. Rupa emak dalam wajahku tidak terlalu tua sebegitu.

“Mama...?”

Perkataan yang terpacul dari mulut ini mengejutkan Mama yang masih mamai. Direnung muka aku lama-lama. “Kenapa ni, Mama?” aku ajukan soalan pada Mama. Tiba-tiba, air mata Mama bergenangan. Aku tersentak seketika. Aku ada buat salah ke?

            “Doktor! Doktor!”

**********

“Hmm....” Doktor memeriksa badan aku. Mama memerhati dengan mata yang masih berkaca. Doktor juga cuba meguji respon badan aku, tetapi aku hanya boleh menggerakkan tangan sahaja seperti tadi. Bahagian badan lain masih lagi ‘ditambat’.
“Bagaimana, doktor?” Mama bertanya pada doktor.
Doktor membetulkan kaca matanya. “Nampaknya anak Puan sudah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Ajaib juga bila dia berjaya menyedarkan diri setelah beberapa lama terlantar....”
Doktor mula berjalan sambil mengurut janggutnya yang sejemput itu. Aku hanya memerhatikan gerak-geri Daktor dan menjangkakan yang beliau masih belum menghabiskan bicaranya. “Pergerakan tangannya merupakan respon yang baik. Mungkin ia memerlukan sedikit masa, tetapi saya berpendapat yang anak Puan tidak mengalami apa-apa kerosakan kekal.”
Selepas doktor keluar, aku mula tertanya-tanya apa yang sebenarnya terjadi pada diri ini.  Adakah aku sudah terlantar begitu lama di sini? Takkanlah sudah bertahun? Pertanyaan ini berlari dalam pusingan mindaku, tetapi agak susah untuk meluahkannya kerana lidahku masih terasa kelu. Terasa seperti anak kecil yang baru mahu belajar bercakap pula....

**********

            “Ini dia makanan kegemaran kamu ; nasi ayam!”

Mama membawakan nasi ayam ke hospital untuk aku. Seminggu berlalu setelah aku menyedarkan diri, dan aku masih tidak bertanya pada Mama tentang keadaan diri ini. Cuba mencari keadaan yang sesuai, mungkin. Aku melantak nasi ayam macam seminggu tak makan. Nasi ayam Mama memang ‘best’. Maklumlah, peniaga nasi ayam yang bertauliah.
            Setelah meletak beberapa alas di dalam perut ini, aku cuba membuka kata. “Mama...?”
“Kenapa, Arif ?” Mama merenung aku di sisi katil.
Aku cuba menyusun kata. “Apa jadi dengan Arif sebenarnya?”
Mama terpana sebentar. Dia seperti tak menyangka aku bertanya soalan itu. “Arif dah lupa apa yang dah jadi kat Arif?”
Aku menggelengkan kepala. Serius, aku memang agak keliru dengan keadaan aku sekarang.
“Mama ingat Arif tak mahu ingat tentang kejadian itu lagi...” Mama memegang tangan aku. Dia menghela nafas panjang, seperti mahu aku menjangkakan yang perkara yang ingin disampaikan ini agak berat untuk diterima.
“Sebenarnya Arif dan Papa kemalangan selepas kamu berdua pergi mengambil keputusan PMR kamu...”
Kemalangan? Secara tiba-tiba, aku merasakan yang perkataan itu menghentam benak fikiran ini dengan sekeras-kerasnya. Ya, baru aku teringat. Selepas aku mengambil keputusan PMR, Papa ingin membawa aku makan KFC setelah aku berjaya mendapat keputusan cemerlang. Akan tetapi, motorsikal yang dibawa oleh Papa dilanggar oleh kereta yang yang terbabas dari arah bertentangan. Akibatnya, aku dan Papa....Papa....
“Mama....Papa......Papa dah....meninggal?”
Mama hanya mengangguk perlahan. Agak hairan yang aku dapat menerima berita itu dengan tenang.
“Arif...”
“Arif ok, Mama.... Arif ok...” Aku cuba menguntum senyuman pahit. Mungkin jika aku berada di majlis pengebumian Papa, aku akan menangis tak berlagu. Aku cuma boleh menyedekahkan Al-Fatihah kepadanya dan berharap Papa berada bersama orang-orang soleh.
“Mama ingat Mama dah hilang dua orang kesayangan Mama...” Mama mengesat air mata yang mengalir. “....tapi, syukur pada Allah kamu dah sedar semula. Dah 10 tahun Mama tunggu Arif...”
10 TAHUN?! Aku terkejut dengan kenyataan Mama! 10 tahun lamanya aku terlantar? Aku melihat tubuh badanku yang masih tak membesar. Jadi, sekarang aku dah berumur 25 tahun? Agak sukar dipercayai yang aku telah menghabiskan 10 tahun dalam hidup aku terlentang atas katil ini....

**********

            Aku membuka mata selepas semalaman melayari mimpi. Sebulan telah berlalu, dan aku mula mengaktifkan diri untuk bergerak. Aku menggalakkan Mama datang dua atau tiga hari sekali daripada datang setiap hari. Selain memberikan Mama peluang untuk menguruskan kehidupannya, aku boleh mengambil peluang ini untuk bergerak sendiri apabila mahu melakukan sesuatu.
            Dari beranda bilik aku, aku melihat pemandangan di luar. 10 tahun berlalu, dan Bandar Bukit Sentosa telah melalui banyak perubahan. Hospital tempat aku ditempatkan ini belum dibangunkan sehingga lima tahun dahulu. Aku yang berada di Hospital Selayang sebelum ini telah dipindahkan ke sini atas permintaan Mama.

            “Arif.....”

            Seseorang memeluk aku dari belakang. Mama? Bukan. Mama lebih rendah. Aku memaling muka dan melihat seorang gadis 20-an yang sangat cantik. Aku ternganga seketika. Kenalkah aku dengan bidadari ini? Apa kebaikan yang telah aku lakukan sehingga gadis ayu ini merangkul diri ini dengan begitu erat sekali?

            “Maafkan saya, cik ni siapa?”

            Si dia tersenyum sebentar membuatkan aku terpegun seketika. “Saya dah agak awak mesti tak kenal saya...” Dia membuka tas tangannya dan mengeluarkan sepasang kaca mata dan getah pengikat rambut. Aku menggarukan kepala melihat perkara yang ingin dilakukannya. Setelah menyisirkan rambutnya, dia mengikat rambutnya dengan stail ekor kuda dan memakai kaca mata.

            “...Kira...Kira, kan?”
            “Ya, saya.....Kira.”

           Aku masih lagi ternganga. Kira yang aku kenal sepuluh tahun lalu amat berlainan sekali penampilannya. Berkaca mata tebal, rambut berikat ke belakang walaupun tak sepanjang sekarang, muka yang jarang diulas solekan dan sentiasa berkepit dengan buku. Kalau bahasa Inggerisnya orang panggil ‘nerd’, bahasa pasarnya menjadi ‘skema’. Akan tetapi, gadis yang berada di hadapanku sekarang cukup berlawanan dengan sifat-sifat yang aku nyatakan sebentar tadi.

            “Arif, baik tutup mulut tu. Masuk lalat pulak nanti....”

Pantas, situasi yang pelik ini cuba dibaca sebagai situasi biasa bagi aku. Ya, sepuluh tahun berlalu, macam-macam boleh jadi. Tetapi, benak fikiran ini masih menimbulkan kemusykilan.

“Macam mana.....”

Soalan itu tak sempat dihabiskan apabila beberapa orang lagi masuk ke dalam bilik aku.

“Hey, jangan tolaklah!”
“Cepat la, kita tengok Arif!”
“Aduh, penat betul la kejar korang....”

Tiba-tiba suasana sunyi seketika. Mereka melihat aku dan Kira.

“Ah, Kira!!! Mana boleh macam ni!!! Awak cakap nak datang sekali!!!” gadis berambut panjang ke bahu mula bersuara.
Kira hanya tersengih. “Maaf ya, saya tunggu lama, awak semua tak sampai lagi...”
Lelaki Cina itu melihat aku. “Arif!! Apa khabar?”
“Ya, Arif, aku tengok badan kau tak besar-besar juga,” lelaki berambut panjang itu pun menyapa aku.
“Nanti, nanti....” aku terasa dahiku berkerut, cuba untuk mengingati identiti mereka semua.
“Arif, cuba teka siapa mereka semua?” Kira mula menduga aku. “Awak  suka menaakul fikiran, bukan? Gunakan ingatan awak dan cuba berikan nama-nama mereka,” tambahnya lagi.
Sekali lagi fail-fail di kotak fikiranku diselongkar. Aku cuba membentuk rupa mereka dari ingatan aku. Walau bagaimanapun, aku dapat menjangka yang mereka sama sekali berlainan dari apa yang aku ingat. Kira adalah contohnya.
Aku menunding pada lelaki rambut panjang. “Awak adalah Steven, kan?”
“Kenapa saya adalah Steven?” lelaki itu tersenyum.
“Awak pernah cakap pada saya yang awak mahu menyimpan rambut panjang selepas menamatkan persekolahan.” Steven mengangguk tanda setuju.
Aku mengalihkan pandangan pada lelaki Cina pula. “Awak pula Muhammad.”
Lelaki Cina itu cuba berseloroh, “Kenapa pula saya Muhammad?  Saya kan orang Cina?”
“Ya, awak memang orang Cina. Tapi, awak dan keluarga awak menganuti agama Islam,” aku memberikan hujah.
“Betul,” Muhammad menunjukkan ibu jarinya.
“....dan awak adalah Mira,” aku menunjukkan pada ‘peserta’ yang tertinggal. “Saya hampir-hampir tertipu dengan penampilan awak, Mia. Dulu awak macam ‘tomboy’ dengan rambut pendek tapi sekarang macam perempuan melaya terakhir...”
Raut muka Mira bertukar merah kerana malu.
“Nak buat macam mana, orang dah berpunya...”  Muhammand memecahkan rahsia.
“Oho....! Siapa yang bertuah tu?” aku mula berbisik dengan Muhammad. Rasanya aku dan Muhammand selalu berbuat begitu bila mengumpat.
            Akan tetapi, jawapan yang ingin dicari tidak sampai ke telinga, kerana Muhammad terlebih dahulu dibanting oleh Mira. “Awak jangan hiraukan sangat Muhammad tu....” Tersengih-sengih muka Mira sambil menahan malu. Perangainya masih tidak berubah.
            Terduduk sebentar aku di atas katil. Sementara masa aku berhenti, masa rakan-rakan aku bergerak menjauhi aku. Akan tetapi, jarak sepuluh tahun seperti tiada apa-apa bila melihat mereka di hadapan aku.
            “Awak tak apa-apa, Arif? Sakit ke?” Kira perasan akan kesenyapan diri ini mula bertanya. Aku tersenyum sendiri.
            “Sepuluh tahun dah berlalu. Terlalu banyak perubahan di sekeliling saya, tapi saya seorang saya tidak berubah....”
            “Jangan bimbang, Arif...” Steven menepuk bahu aku.
            “Memang kami berubah dari fizikalnya, tapi secara mentalnya, kami masih ‘senget’ macam dulu...” Muhammad masih memegang kepalanya yang sakit akibat dibanting tadi.
            Mira pula menambah kombo pada kesakitan itu dengan menepuknya. “Betul tu. Contohnya ada di sini...”
            “Awak tak perlu bimbang, Arif. Saya yakin awak boleh mengejarnya.” Kira mengusap kepala aku.

Satoshi Ken-g
keng870425@gmail.com


No comments:

Post a Comment