Timbalan Ketua Pengarah Kastam mati ditembak
PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam
Negeri) mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di
Putrajaya, hari ini.
Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, yang tinggal di Dengkil, Selangor,
disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada pukul 9.20 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata
dua lelaki bermotosikal melepaskan tiga das tembakan ketika kenderaan
yang dinaiki Shaharuddin berhenti di persimpangan lampu isyarat dari
Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan pada pukul 8.15 pagi.
“Tembakan itu mengenai bahagian leher ke atas dan Shaharuddin
dikejarkan ke Hospital Putrajaya oleh pemandunya,” katanya kepada
pemberita ketika ditemui di kejadian.
Ku berkata siasatan polis mendapati Shaharuddin ditembak menggunakan pistol automatik.
Polis akan meneliti kesemua bahan bukti termasuk kamera litar
tertutup di kawasan itu, katanya sambil meminta orang ramai yang
mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis
berhampiran.
Pembunuhan Shaharuddin Ibrahim mungkin mempunyai kaitan dengan tugas beliau sebagai pegawai kanan kastam.
Anak saudara Allahyarham, Roslan Ibrahim, 51, percaya Shaharuddin
mungkin mempunyai banyak musuh disebabkan tugasannya dalam jabatan
kastam.
“Saya dan Shaharuddin kerap bertemu dan minum bersama dan saya
percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan kerjanya,” katanya kepada
pemberita ketika menemani isteri dan keluarga Allahyarham Shaharuddin di
Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.
Kesemua anggota keluarga Shaharuddin hadir di hospital itu untuk menunggu proses bedah siasat.
Timbalan ketua pengarah kastam itu ditembak dua lelaki bermotosikal
semasa dalam perjalanan ke pejabatnya, ketika kereta yang dinaikinya
berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh
Wawasan dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi.
Roslan berkata kali terakhir beliau bertemu Allahyarham ialah pada Ahad lepas dan mereka berbual sambil minum bersama.
“Allahyarham mempunyai lima orang anak. Dia seorang yang peramah dan
tidak sombong serta mempunyai hobi bermain golf. Dia selalu main golf di
Seremban,”katanya.
- Bernama
sUMBER rUJUKAN
www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/04/26/timb-ketua-pengarah-kastam-mati-ditembak/
Apakah Motif Pembunuhan ini?
Adakah ianya satu konspirasi Orang-orang VVIP?
Kenyataanya Hanya Allah Yang akan membongkarnya